Lama tidak menulis dalam entri ini. Andai saya tidak pulang ke kampung mungkin saya sudah melupainya. Lupa kerana tuntutan pekerjaan yang kian menghimpit. Kerana cekatan masa, saya juga hampir tidak sedar untuk menikmati alam akibat terlalu kurang memerhati, sebaliknya terlalu banyak mahu dicari, dikejar dan dipeluk. Apapun, Ramadhan tahun ini banyak mengajar saya sesuatu yang tidak mampu kita kejar sekalipun ada kekuatan kerana kita hanya mampu merancang dan Dia juga yang menentukan.
Syawal menemukan saya dengan kampung halaman, ibu, ayah, saudara mara dan tentunya dengan diri saya sendiri. Ia mencampakkan saya ke dalam suatu pengertian bahawa agama, budaya, alam dan silaturahim sentiasa menyatu. Mudah sahaja, tetapi hidup memang tidak semudah itu. Menusuri denai kehidupan umpama jalan sempit yang berliku dan tanpa petunjuk. Saya menemui falsafah itu apabila saya menelusuri jalan ke kampung halaman seorang rakan saya iaitu Rafaee di Kampung Sulabayan, Pulau Bum-Bum Semporna. Saya terima ajakannya dengan gembira. Saya yang ditemani Raaf dan Mad, seorang sahabat baik saya menjengah ke Kampung yang dimaksudkan pada Syawal kedua. Sebelum ke Kampung Sulabayan, kami ke Kampung Sum-Sum terlebih dahulu untuk mendapatkan bot. Kampung Sum-Sum terletak di Tampi-tampi, lebih kurang 5 hingga 8 kilometer dari Pekan Semporna. Sampai ke Kampung Sumn-sum, dalam keadaan hujan renyai-renyai saya berkaki ayam melepasi jambatan sehingga sampai ke jeti selepas beberapa kali tergelincir akibat permukaan jambatan yang licin. Sampai sahaja di sana, kami terpaksa mengharungi air laut paras tumit dan pasir putih untuk mendapatkan bot yang membawa kami ke tempat yang ditujui. Dengan baju kurung, saya mengharunginya jua walaupun berat rasanya di hati. Keadaan itu langsung tak terfikirkan. Begitupun, niat untuk ke sana masih kuat. Untuk merasai suasana raya yang berbeza dan mengenal budaya kampung lain....
No comments:
Post a Comment