Monday, November 19, 2007

Untaian Kata........


"Kreativiti setiap insan umpama sebutir intan yang terbenam dalam lumpur. Lumpur itu perlu diselongkar, intan itu perlu dicari, dibersih dan digilap, barulah dapat sinarnya yang gemilang itu.." - Hizairi Othman.

Wednesday, November 7, 2007

CERPEN PERTAMA YANG DIADAPTASI KE DRAMA(KEMUDIANNYA)

PENGEMIS KOTA DAN SI BUTA

HARI-hari semalam terasa perit dilalui dan hari esok pastinya pahit untuk dihadapi seolah sinar biru lazuardi hilang dibawa angin pergi.
Salina duduk mencangkung di suatu sudut di celah-celahan orang ramai di tengah-tengah kota. Denyutan di kepalanya sengaja menyusutkan lagi masalah hidupnya yang datang bertimpa-timpa.
“Esok awak tidak perlu datang bekerja lagi Salina” . Tegas Puan Zaidah tanpa memandang sedikit pun wajah Salina yang berada di hadapannya.
“Awak jangan banyak soal lagi. Saya dah banyak kali beri awak peluang tapi awak tidak gunakan dengan sebaik-baiknya”. Sambung Puan Zaidah sebelum sempat Salina membuka mulutnya. Salina keluar dari pejabat Puan Zaidah dengan hati yang sebal. ‘Kemana lagi aku pergi selepas ini?’ Bisik hati kecilnya. Semenjak ibunya sakit, Salina terpaksa menghabiskan banyak masa di rumah. Salina punya tiga orang adik untuk diberi makan dan disekolahkan. Ini adalah kali kelima dia bertukar kerja sejak masalah itu datang menimpanya.
Salina terduduk merenung lantai jalan pejalan kaki di hadapannya. Sudah penat mencari pekerjaan yang membolehkannya pulang lebih awal dari masa berkerja yang biasa tapi tiada siapa yang mahukan pekerja sepertinya yang punya ibu yang perlukan perhatian sepanjang masa. Fikirannya kosong, jiwanya sakit dan kepalanya pula sudah tidak lagi terbendung kesakitannya. Salina menghempaskan beg sandangnya di atas lantai laluan pejalan kaki itu. Lama dia berteleku disitu seolah-olah tiada siapa yang melintas dihadapannya. Apa yang ada cuma dia dan dunianya yang kosong.
“tingg”

sekeping duit siling 50 sen jatuh dihadapannya. Sebelum bergolek jauh Salina mengutip syiling itu lantas ingin diberikan semula kepada empunnya tapi Salina gagal. Orang itu hilang disebalik orang ramai yang lalu lalang di situ
“tingg.” Sekali lagi sekeping duit siling jatuh dihadapannya. Salina membiarkannya sahaja apabila satu demi satu beberapa keping duit syiling jatuh di atas beg sandangnyanya. Kali ini bukan sahaja duit syiling yang dijatuhkan oleh entah siapa malah ada beberapa not merah yang dihulurkan kepadanya. Salina terpaku.
Senja merah hampir melabuhkan tirainya. Hati yang gundah tenggelam bersama surutnya aliran waktu. Petak-petak jalan ditelusuri perlahan sehingga kakinya menapak ke teratak yang sejak siang tadi menunggu kepulangannya. Seribu pertanyaan menujah mindanya semenjak pulang dari kota. Apa yang menjadi persoalan di benaknya ialah apakah perlu dia mengambil wang hasil pemberian orang ramai tadi? Kalau betul ia pemberian yang ikhlas, apa salahnya dia menerimanya.
‘sudah rezeki kau Salina, ambil sajalah. Apa lagi yang kau fikirkan?’ satu suara dari lubuk hatinya memujuk.
‘Tapi, bukankah aku akan jadi seperti pemintah sedekah sekiranya aku mengambilnya?’ Hatinya pula berkata.
‘Mahukah kau hidup dalam keadaan seperti ini? Tanpa apa-apa pekerjaan dan belas simpati sesiapa yang boleh mengambil kau bekerja? Hujah suara dari dalam itu. ‘Persetankan semua itu Salina. Kau perlu hidup, ibu kau yang sakit dan paling penting tiga orang si kecil yang perlukan duit sekolah dan buku-buku itu’. Suara itu memujuk lagi
‘Aku tidak mahu duit ini. Ini bukan hasil titik peluhku. Sampai bila aku hidup di atas dasar simpati dan kasihan orang lain? Argh, tidakkkk!’
‘Bodoh- bodoh, kau memang Bodoh Salina. Ambilah dahulu duit itu dan simpan. Apabila ianya sudah banyak kau boleh ambil duit itu sebagai modal untuk berniaga. Bila sudah untung, kau boleh beri balik pada peminta sedekah yang lain. Ramai lagi tangan-tangan yang menadah di luar sana Salina, berikan sahaja pada mereka kalau kau sudah punya wang yang banyak.’ Begitu hebat suara itu memujuknya.
‘Tapi’..ya, betul juga… Nanti bolehlah aku belikan ibu ubat-ubatan dan duit untuk adik-adikku. Salina akhirnya termakan pujuk rayuan suara hitam itu.
Hari silih berganti, masa pantas berputar mengikut paksinya. Yang besar datang menghulur, yang kecil mengikut dan seribu satu wajah menyuakan ihsan dan belas yang tidak terkira pada si gadis yang kini menjadi pengemis kota. Salina tiada pilihan dan sesuatu yang tampak hina selama ini sebenarnya memberi banyak nikmat terutama kepada mereka yang sengaja meminta serta berpura-pura.
Suatu hari, seorang perempuan tua berjalan sambil menghayun tongkatnya di celah-celahan orang ramai. Berjalan bertongkat dan meraba kerana tiada cahaya yang mampu menembusi retinanya. Kebetulan pada ketika itu Salina bersiap-siap pulang ke rumah dan tiba-tiba diketemukan dengan si tua yang tidak ada kudrat dan upaya.
‘Makcik ni hendak ke mana?’ Biar saya tolong.’ Sapa Salina lantas memimpin tangan makcik buta itu.
‘terima kasih nak’ ucapnya sambil tersenyum ikhlas.
‘makcik nak ke rumah makcik di hujung kedai itu’ katanya lagi sambil di tangannya terdapat sebuah bakul yang dijinjit kemas.
‘makcik jual kuih ker?’ soal Salina apabila melihat bakul yang berisi itu
‘iya nak.. anak tak nak beli kuih ni ke? Soalnya pula.
‘tidak mengapalah makcik. Saya baru sahaja selesai makan’
‘baiklah.
Salina berasa belas dan tindakanya tidak membeli kuih itu menambahkan lagi serba salahnya.
‘tidak apalah makcik, saya tidak akan membeli kuih ini tapi makcik ambillah duit ini.’ Salina menghulurkan not sepuluh kepada orang tua buta itu.
‘terima kasih nak. Makcik tidak ambil duit pemberian orang’
Terasa berbakul-bakul kuih jatuh di atas kepala Salina. Dia tidak menyangka pemberiannya ditolak.
‘saya bagi ikhlas makcik, ambillah. Salina menghulurkan lagi. Kali ini sekeping not biru pula diberikannya.
‘terima kasih sajalah nak’ simpanlah duit itu untuk masa depan atau mungkin untuk orang lain yang lebih memerlukannya ya.’orang tua itu menolak duit Salina lembut.
‘macam inilah, saya beli semua kuih makcik tu dan makcik terimalah duit ini sebagai bayaran’. Salina tidak berputus asa memujuk.
‘nak, hidup kita kena ikhlas baru boleh dapat keredhaan dan keberkatan. Jangan mengharap simpati dan belas orang lain. Mungkin makcik buta tapi Allah cukup pemurah kerana memberikan makcik kudrat untuk berjaja kuih-muih. Macik masih ada sepasang kaki dan sepasang tangan yang membolehkan makcik terus hidup.
Anak simpanlah baik-baik duit itu. Tentunya sukar anak mencarinya. Hargai dan peliharalah apa yang kita ada. Biar sampai satu hari nanti apabila kita mati, matilah sebagai orang paling mulia di kalangan manusia, jangan sesekali kita mati dalam keadaan yang hina ” Orang tua itu kemudian berlalu pergi.
Salina terpempan degan kata-kata itu. ‘Mengapa aku yang ada kesempurnaan ini tidak semulia dan sekuat orang tua itu untuk memperjuangkan hidup?’ Salina ingin lari tapi terasa kaki tidak cukup bumi untuk menyembunyikan kepalsuan serta kepuraan diri.
Salina menoleh pada si tua buta itu tadi tetapi dengan serta merta orang tua bersama tongkatnya itu hilang. Puas Salina mencari tetapi gagal.