Cerpen

Air Mata Itu ('Air Mata' selepas diedit editor)


‘JAHANAM kau!’

‘Biarkan aku melakukannya sekali lagi.’ Makhluk bergigi tajam itu memejamkan matanya. Saban hari, kerakusan dan keserakahan itu berlaku. Dia sendiri tidak mampu menahannya.

‘Tapi sebelum itu kau maafkanlah aku. Bukan niatku untuk melakukan kekejaman ini. Tolong maafkan aku. Aku juga seperti kau. Kita sama-sama bergerak atas peraturan dan arahan-arahan yang sudah termaktub sejak awal lagi. Bezanya aku berada di atas peraturan yang mereka sendiri telah ciptakan dan tidak akan berakhir malah semakin berevolusi.’

‘Sial kau!’

‘Tidak! Hentikan! Hentikan kata-kata itu. Kutukan itu bukan untukku. Bukan untuk tangan ini yang menelanjangi dan meragut kedaraanmu. Bukan juga untuk gigi-gigi ini yang melahap setiap inci tubuh dan isi kulitmu. Aku pohonkan kemaafanmu yang mungkin tidak mampu aku terima. Aku sedar itu!’

Muka dan wajah itu menangis dan menangis lagi seperti selalu. Dia tidak mampu menahannya. Menahan tangan dan gigi-gigi yang tajam itu membenamkan ke seluruh jasadnya yang kian tenat lebih sukar berbanding mempertahankan hidup dan kewujudan yang terbina jutaan tahun. Tidak selama usia itu, mematikannya tidak perlu mengambil masa yang lama. Namun, kematian bukanlah ketentuannya. Jasad serta roh itu bukan miliknya. Dia hanyalah ciptaan yang hidup di atas aturan dan ketetapan yang berkuasa ke atas segala-galanya.
Tangan yang tidak berdaya itu menadah lagi ke langit yang menyaksikan penderitaannya setiap hari. Dia melihat wajah Sang Biru itu dan Sang Biru itu juga melihatnya.
Permukaan Sang Biru umpama sebuah lautan yang terbaring luas dan tenang tanpa memikirkan apa. Namun ketenangan itu seringkali ditutupi oleh ribut dan taufan yang terselindung di sebalik sinar kecemerlangannya sehingga ia merubah warna biru yang sesekali diselaputi sinar keputihan itu menjadi hitam dan kelam. Namun, sinar itulah yang memberikannya kekuatan untuk terus hidup. Setitis demi setitis air dari Sang Biru itu tumpah. ‘Adakah itu air matamu? Seperti air mataku ini yang mengalir tanpa segan silu setiap hari?’ Air itu menitis pelahan sehingga kadang menitis laju dan akhirya berubah ganas. Memusnahkan mereka yang menghuni alam ini.

‘Bawa aku pergi langit…’

Dia merayu dan memohon. Tetapi rayuan itu seperti juga daun-daun kering yang sering menemaninya sebelum terkulai gugur dari rimbunan yang tumbuh melata. Segar kelahirannya dan kemudian layu. Dulunya dia juga seperti itu. Lahir sebagai suatu ciptaan yang hebat, perkasa, indah dan hanya ada warna kesegaran serta kehijauan yang menguasai kewujudannya. Menghidupkan dan mensejahterakan hidup mereka.

Air matanya mengalir lagi. Tetapi air itu bukan air tangisan yang wujud dari matanya. Air itu adalah air yang membawa kelodak jiwanya yang hancur digilis kekejaman dan kerakusan.mereka. Si Botak? Ya, Si Botak itulah yang menjadi kepalanya. Setiap hari Si Botak itu datang menggenggam kertas pelan yang bergulung-gulung. Dialah yang merancang semua kederhakaan ini! Dialah yang mengheret sekelompok gigi tajam bersama kawanannya yang mengangkut material itu untuk melumatkan kasih sejatiku! Dialah yang meragut benih-benih suciku! Dan kemudian menanam bibit-bibit kesenangannya di atas penderitaan dan kesengsaraan ini!

Gigi tajam itu melihat wajahnya. Dia juga menangis! Tapi air matanya tidak mampu keluar. Seperti sebuah kali yang terbujur kaku dalam dakapan alam.

‘Rupanya hatiku tidak sekukuh dan segagah diriku. walaupun aku punya kekuatan dari gigi-gigi yang tajam ini untuk menghancurlumatkan dirimu, namun aku tidak terdaya menahan kehendak mereka. Aku juga lemah sepertimu!’

Gigi Tajam menutup matanya, menahan air matanya yang nyata tidak akan meluncur. Cukuplah air mata dari wajah yang derita itu merembes keluar, tidak akan kering dan tandus sepertimana dirinya. Air mata itulah yang sering menemani penderitaan sepinya yang tiada siapa pun tahu malah, tiada siapa pun yang mahu peduli. Air mata itulah bait-bait sendu yang melagukan senandung rindunya. Rindu pada kebebasan, rindu kesejahteraan dan rindu pada kasih sayang dari jiwa insan yang darjatnya diangkat sebagai khalifah! Aku tahu, Rindu itulah yang kau harapkan selama ini! tapi jangan sekali-kali kau libatkan aku dengan segala konspirasi pengkhianatan ini wahai penderita yang sejati. Aku sama sekali tidak terlibat! Percayalah! Aku turut bersedih di atas penderitaan yang kau alami.

Air mata itu kering seketika saat Angin berlalu menghembuskan nafasnya. Dia datang sekali lagi, sekali sekala seperti selalu. Dan setiap kali itulah dia melihat wajah itu mengalirkan air matanya. Dia sendiri tidak sanggup melihat air mata kedukaan itu! Sungguh!

‘Aku datang wahai sahabat. Aku anggap kau sahabatku kerana kita dari pencipta yang sama! kau tahu bukan? Kalau kau mengakuinya, lupakanlah penderitaan yang tiada kesudahannya ini. Aku juga mengalaminya dan malah aku turut merasa seksanya. Dulu aku begitu suci sesucimu. Aku indah seindahmu dan hebat sehebatmu! Kini, aku hanya menampung jasad yang kian kotor sekotor-kotornya! Hitam sehitam-hitamnya. Kadang-kala aku berubah menjadi kelabu yang meliputi ruang nafas yang dulunya segar. Dan mereka akan mula menutup hidung dan mulut kerana kehadiranku pembawa penyakit mata, paru-paru dan anggota-anggota yang mereka sayang itu. Tidak malukah mereka? Kerana merekalah aku jadi seperti ini!’

‘Terima kasih sahabat!’

Wajah yang tidak henti-henti mengalirkan air mata itu terharu. Dia tersenyum dalam duka kerana ternyata dia bukanlah penderita yang sepi tanpa sesiapa yang sanggup mendengar rintihannya. Dia juga bukanlah satu-satunya penderita di alam ini yang sering menangisi takdir.

‘Syukur…’

‘Kerana apa? Benarkanlah aku tahu kenapa.’ Gigi Tajam kebingungan.

‘Tidakkah kau lihat sebentar tadi air mataku kering seketika saat dia datang menyapa? Sungguh aku amat benci dengan air mata yang tidak kering-kering ini, air mata yang memburukkan lagi wajahku yang sedia buruk dan air mata yang menambahkan lagi kepedihan terhadap luka-luka yang sudah kian bernanah dan berkulat pada wajahku. Kerana lagi hembusannya itu menjadikan jiwaku segar tatkala subuh, tengahari, petang, malam dan malah setiap saat dan ketika. Tiupan lembutnya itulah yang menyejukkan tubuhku yang kian hangat kerana kehadiran pancaran Sang Sinar yang tidak henti-henti menggigit-gigit kulitku yang semakin menipis hari demi hari.’

‘Aku tidak berniat melakukannya! Tiba-tiba satu suara datang lagi dalam ruang suram yang hanya ditenggelami air mata itu. Seperti selalu. Namun, suara itu berbeza dari kebiasaannya.

‘Benar, aku juga tidak sanggup melihat air matamu itu wahai diri yang punya wajah penuh dengan segala duka. Secara lahiriahnya akulah yang menghangati tubuh lesu dan jiwa laramu itu tapi sinarku bukanlah untuk membunuhmu. Aku tidak lahir untuk mengasari atau membakar luka-luka deritamu itu, sahabatku. Tidak sekali-kali! Kau juga tahu aku adalah sepertimu yang lahir dari kuasa yang satu. Lahir memberikan kehidupan untuk kehidupan yang lain. Kini, aku tidak lagi seperti dulu! Aku makin hilang sifat tabiiku sehingga menjadi semakin hangat sehangat-hangatnya! Panas sepanas-panasnya sehingga mereka menghindariku kerana aku adalah punca penyakit anggota dan kemusnahan hidup mereka. Namun, aku tidak peduli semua itu kerana itu adalah balasan bagi perbuatan mereka sendiri! Perbuatan yang mereka sendiri tidak pernah kesalkan. Mereka punca aku jadi seperti ini sehingga menambahkan lagi kerosakan pada wajah dan tubuhmu wahai penderita punya wajah yang penuh dengan derita!’

‘Syukur..’

‘Tapi kenapa?’ Tanya Gigi Tajam itu lagi. Semakin bingung.

‘Aku bersyukur kerana aku tidak sendiri yang hanya tahu mengenangkan nasib diri.’ Dia tersenyum dalam duka sekali lagi. Ya, aku bersyukur kerana ada ciptaan lain yang juga sengsara sepertiku.

‘Maknanya kau gembira atas kesedihan dan kesengsaraan ciptaan yang lain?’ Gigi tajam menghamparkan hujah!

‘Ah! siapa kau untuk mempersoalkan kegembiraanku?’

‘Katankanlah, kerana aku juga sepertimu. Walaupun aku adalah ciptaan dari tangan-tangan mereka!’

‘Aku bersyukur kerana kesengsaraan yang wujud ini telah menemukan aku dengan mereka yang juga sengsara sepertiku. Aku fikir kesengsaraan dan kesakitan inilah yang menyatukan hati-hati kami, memautkan lengan-lengan dan mengikat tangan-tangan kami. Tidakkah kau sedar itu wahai Si Gigi tajam?! Manakah perginya mata hatimu untuk menilai dan menghargai setiap ketentuan yang wujud tidak kira ia bertunjang atas nama kebahagiaan mahupun kesengsaraan? Kau fikir kebahagiaan sahajakah yang boleh menerbitkan rasa syukur? Kebahagiaan saja yang melenturkan jiwa untuk tunduk mengingati Tuhan dan kebahagiaan sajakah yang melahirkan ciptaan yang punya akal, hati, mata dan telinga yang boleh berfikir, menghargai, melihat dan mendengar sedalam-dalamnya?’

Ah! pukulan itu lebih tajam dari gigi-gigiku ini. Gigi tajam itu tertunduk malu. Ya, sungguh malu!

‘Aku tahu bukan salahmu andai kau tidak pernah mengerti wahai Gigi Tajam. Kerana kau adalah ciptaan mereka yang tidak punya mata hati. Kau dicipta untuk menurut kehendak dan kemahuan mereka tanpa sekelumit pun perasaan bersalah walaupun kau salah satu daripada ciptaan yang mereka lahirkan dari perut modenisasi! Kau tahu, ciptaan-ciptaan mereka itu tidak lebih dari menurut kemahuan duniawi yang nyata jauh dari keperluan ukhrawi dan rohani? Ciptaan itu lebih banyak keburukannya berbanding kebaikan dan lebih banyak memusnahkan berbanding memakmurkan!’ Air matanya tumpah lagi…

‘Air mata itu untuk apa pula kali ini?’ Gigi Tajam pelik.

‘Air mata ini adalah nikmat! Nikmat yang aku rasakan dari segala penderitaanku! Walaupun aku sendiri tidak tahu di mana hujung dan penamatnya kerana aku tahu semua ini adalah untuk sesuatu. Untuk hikmah yang diteladani dan bukan kehampaan yang disesali.’

Air mata itu tumpah tetapi bukan dari air mata dari wajah yang tidak henti mengalirkan air mata itu, sebaliknya air mata si Gigi Tajam! Ya, benar. Air mata Gigi tajam yang mengalir. Tapi kenapa?

Sebuah cerucuk besi ditusuk pada permukaan bumi. Satu, dua, tiga, empat dan lima batang besi terbenam satu demi satu di atas lantai bumi yang hanya dibasahi kelodak lumpur dan tanah. Menanamkan bersama siri penyeksaan yang tidak akan berakhir selagi dunia dan manusia terus wujud. Si botak yang memakai topi kuning mungkin dapat menyembunyikan rambutnya yang gondol itu namun, gondolan di kawasan pembinaan yang dikawalnya sudah kian tampak. Hanya ada sebuah bukit tunggal yang riwayatnya tidak akan lama dan sebuah tasik yang berlumut masih meneruskan nadi yang semakin lemah.

‘Terima kasih wahai wajah yang penuh dengan segala duka. Kau menginsafkan aku! Kau membina diriku yang nyata tidak punya jiwa dan mata walau aku tidak punya hati! Aku sedar setiap yang lahir punya ertinya yang tersendiri!’

Dalam tangis, Gigi Tajam mula mengorek perut bumi. Air mata itu gugur lagi…

Tunas Cipta (Januari 2009)