Tuesday, November 9, 2010

'Mengayau' ke beberapa destinasi menarik di Sabah

Terdapat beberapa perkara yang kita sering lupa dan tidak sedar. Begitulah satu lagi falsafah ringkas yang tiba-tiba terlintas dalam fikiran saya setelah berpeluang menjengah ke beberapa tempat menarik di Sabah.. Tidak banyak, sikit pun jadilah. Pengalaman yang sedikit itu membuatkan saya tersedar bahawa betapa beruntungnya saya menjadi anak kelahiran Sabah. Saya mengambil kesimpulan, tidak perlu pergi jauh untuk menikmati keindahan alam.. Sabah sudah cukup!

Perancangan utama kami (saya bersama kakak dan dua rakannya; Jay dan Tang)ke Kudat sahaja. Tetapi tidak sangka kami sempat singgah di beberapa tempat lain. Sebelum ke Kudat, kami berkunjung ke Orchid De Villa di Kampung Kawakaan, Inanam. Saya sendiri tidak banyak pengetahuan tentang orkid, malah tidak pernah termimpi untuk menjejakinya. Tapi peluang yang ada saya nikmati sepenuhnya untuk cuba mengenali tumbuhan yang istimewa itu. Begitu banyak jenis orkid yang kami temui. Lucunya, Jay yang meminati bunga itu sendiri baru mendapat tahu yang perisa vanilla berasal dari orkid. Kami tertawa mengenang kejahilan diri.

Menikmati angin dari dua lautan di Simpang Mengayau, Tip of Borneo memang tidak tergambarkan. Bagi mereka yang mencintai lautan saya fikir inilah tempatnya. Perjalanan ke sana memang agak memenatkan dan memualkan. Mual kerana jalan yang tidak rata dan rosak di pertengahan jalan. Dalam keghairahan, saya langsung tidak percaya bagaimana sebuah tempat pelancongan yang indah dan malah telah menjadi tapak warisan UNESCO seperti itu masih lagi ditenggelami oleh krisis pembangunan jalan yang tak habis-habis di sabah- jalan tidak berturap!

Angin Laut China Selatan dan Laut Sulu terus menggamit. Saya dan tiga orang yang lain yang berada di dalam kereta tidak senang duduk kerana sejam sahaja lagi senja akan berlabuh. Kami ingin menikmati 'sunset' itu! Jay memandu kereta dengan laju dan saya kaget beberapa kali. Saya membiarkan perasaan itu dengan hanya mampu berdoa supaya kami selamat sampai dan menunaikan hajat'. Selepas hampir tiga jam perjalanan dari Kota Kinabalu, kami menjejak kaki ke Tanjung Simpang Mengayau yang sering menjadi igauan. Pun begitu, kami sedikit kecewa kerana awan semakin gelap menandakan hujan akan turun. Kami bergambar sepuas hati meski tahu yang kami takkan puas.. Tapi syukur, senja yang dinanti-nanti itu akhirnya menjengah, menguraikan perasaan, emosi dan tekanan kami satu persatu. Sungguh, tiada yang lebih indah selain ciptaan Allah... Dalam kehujanan, kami berlari-lari anak menuju ke kereta. Sinar pelangi di sebelah Timur melambai-lambai mengajak kami kembali. Ya, esok pagi kami bercadang untuk singgah sebentar sebelum pulang ke Kota Kinabalu.

Malamnya, kami menginap di hotel Ria Kudat.. Tidak sabar menanti hari esok. Tapi malangnya pagi-pagi lagi saya mendapat tahu hanya kami bertiga yang akan meneruskan perjalanan. Kakak saya pulang lebih awal kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Sekali lagi, rindu kami terlunas apabila berkesempatan ke sana semula.

Kami meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu apabila hari semakin naik. Di pertengahan jalan kami singgah sebentar di Rumah Panjang Rungus, Malanjak. Saya sempat membeli selempang jahitan tangan berwarna biru untuk saya sendiri.

Sampai di Kota Kinabalu kami tidak terus pulang. Kami bertiga berkunjung ke Akuarium dan Pusat Marin di Universiti Malaysia Sabah untuk melihat hidupan laut. Bateri kamera saya sudah habis apabila sampai di sana. Mujur kamera Jay masih boleh digunakan.

Dahaga menjelajah masih belum puas rupanya. Keesokan harinya, saya bersama kakak dan Jay mengayau' lagi ke Kipandi Butterfly Park di Tambunan. Kali ini kami menjejaki rama-rama, satu lagi hidupan yang saya hampir-hampir lupa keindahannya. Haiwan kecil itu benar-benar membuatkan saya jatuh cinta. Cinta pada alam ciptaan Tuhan yang Maha Kaya.

Perjalanan kali ini memang memberikan kesan yang sangat mendalam kepada saya terutama dalam mensyukuri nikmat Tuhan yang begitu luas. Dan meneruskan hasrat dan impian saya untuk terus mencari dan menjejaki keindahan-Nya selepas ini.

Friday, October 8, 2010

Bayu

Lautku
Tanahku
Cintaku

Di sini aku bernafas
dengan nafasmu
Di sini aku melihat
dengan matamu

melihat puncak gunung
pesisir pantai
lekuk dasar alam
putih kebiruan..

Friday, September 17, 2010

Singgah ke kampung halaman (part 2)

Saya mengutuk diri sendiri kerana tidak menurut kata-kata Mad agar menukar pakaian. Sebelum bertolak Raf memberitahu bahawa kami perlu mengharungi air laut. Lebih parah lagi,kami mengharunginya sambil meredah hujan!

Sesampai di Pengkalan Lama, kami menaiki sebuah van kecil, berkeriut bunyinya. Meski nampak tua, lajunya bukan main. Meluncur tidak mempedulikan nasibnya dan nasib kami yang terpaksa mengharungi satu lagi denai yang punya 1001 cerita. Jalan bertar seperti mahu mengeluarkan segala isi perut. Berlubang, berlekuk dan berkawah di sana-sini. Pemandu van yang berusia dalam lingkungan 20-an itu menambahkan lagi kelajuannya apabila tiba di kawasan berkawah dan berlekuk itu. Dia tidak peduli. Lagu pilihan dari corong radio semakin kuat melupakan keperitan hatinya mengharungi denai-denai yang tidak pernah dibaiki meskipun janji ditabur berkalii-kali...

Tuesday, September 14, 2010

Singgah ke kampung halaman (part 1)

Lama tidak menulis dalam entri ini. Andai saya tidak pulang ke kampung mungkin saya sudah melupainya. Lupa kerana tuntutan pekerjaan yang kian menghimpit. Kerana cekatan masa, saya juga hampir tidak sedar untuk menikmati alam akibat terlalu kurang memerhati, sebaliknya terlalu banyak mahu dicari, dikejar dan dipeluk. Apapun, Ramadhan tahun ini banyak mengajar saya sesuatu yang tidak mampu kita kejar sekalipun ada kekuatan kerana kita hanya mampu merancang dan Dia juga yang menentukan.

Syawal menemukan saya dengan kampung halaman, ibu, ayah, saudara mara dan tentunya dengan diri saya sendiri. Ia mencampakkan saya ke dalam suatu pengertian bahawa agama, budaya, alam dan silaturahim sentiasa menyatu. Mudah sahaja, tetapi hidup memang tidak semudah itu. Menusuri denai kehidupan umpama jalan sempit yang berliku dan tanpa petunjuk. Saya menemui falsafah itu apabila saya menelusuri jalan ke kampung halaman seorang rakan saya iaitu Rafaee di Kampung Sulabayan, Pulau Bum-Bum Semporna. Saya terima ajakannya dengan gembira. Saya yang ditemani Raaf dan Mad, seorang sahabat baik saya menjengah ke Kampung yang dimaksudkan pada Syawal kedua. Sebelum ke Kampung Sulabayan, kami ke Kampung Sum-Sum terlebih dahulu untuk mendapatkan bot. Kampung Sum-Sum terletak di Tampi-tampi, lebih kurang 5 hingga 8 kilometer dari Pekan Semporna. Sampai ke Kampung Sumn-sum, dalam keadaan hujan renyai-renyai saya berkaki ayam melepasi jambatan sehingga sampai ke jeti selepas beberapa kali tergelincir akibat permukaan jambatan yang licin. Sampai sahaja di sana, kami terpaksa mengharungi air laut paras tumit dan pasir putih untuk mendapatkan bot yang membawa kami ke tempat yang ditujui. Dengan baju kurung, saya mengharunginya jua walaupun berat rasanya di hati. Keadaan itu langsung tak terfikirkan. Begitupun, niat untuk ke sana masih kuat. Untuk merasai suasana raya yang berbeza dan mengenal budaya kampung lain....

Sunday, February 14, 2010

Alam

Atas namamu kuukir cinta
pada dadamu kuukir nama
rantaian nafasku menjejak nafasmu
dalam kasmaran rindu
kabut
angin
hujan
langit
tak pernah berantakkan
seperti bulan yang tak pernah jatuh....