Wednesday, November 7, 2007

CERPEN PERTAMA YANG DIADAPTASI KE DRAMA(KEMUDIANNYA)

PENGEMIS KOTA DAN SI BUTA

HARI-hari semalam terasa perit dilalui dan hari esok pastinya pahit untuk dihadapi seolah sinar biru lazuardi hilang dibawa angin pergi.
Salina duduk mencangkung di suatu sudut di celah-celahan orang ramai di tengah-tengah kota. Denyutan di kepalanya sengaja menyusutkan lagi masalah hidupnya yang datang bertimpa-timpa.
“Esok awak tidak perlu datang bekerja lagi Salina” . Tegas Puan Zaidah tanpa memandang sedikit pun wajah Salina yang berada di hadapannya.
“Awak jangan banyak soal lagi. Saya dah banyak kali beri awak peluang tapi awak tidak gunakan dengan sebaik-baiknya”. Sambung Puan Zaidah sebelum sempat Salina membuka mulutnya. Salina keluar dari pejabat Puan Zaidah dengan hati yang sebal. ‘Kemana lagi aku pergi selepas ini?’ Bisik hati kecilnya. Semenjak ibunya sakit, Salina terpaksa menghabiskan banyak masa di rumah. Salina punya tiga orang adik untuk diberi makan dan disekolahkan. Ini adalah kali kelima dia bertukar kerja sejak masalah itu datang menimpanya.
Salina terduduk merenung lantai jalan pejalan kaki di hadapannya. Sudah penat mencari pekerjaan yang membolehkannya pulang lebih awal dari masa berkerja yang biasa tapi tiada siapa yang mahukan pekerja sepertinya yang punya ibu yang perlukan perhatian sepanjang masa. Fikirannya kosong, jiwanya sakit dan kepalanya pula sudah tidak lagi terbendung kesakitannya. Salina menghempaskan beg sandangnya di atas lantai laluan pejalan kaki itu. Lama dia berteleku disitu seolah-olah tiada siapa yang melintas dihadapannya. Apa yang ada cuma dia dan dunianya yang kosong.
“tingg”

sekeping duit siling 50 sen jatuh dihadapannya. Sebelum bergolek jauh Salina mengutip syiling itu lantas ingin diberikan semula kepada empunnya tapi Salina gagal. Orang itu hilang disebalik orang ramai yang lalu lalang di situ
“tingg.” Sekali lagi sekeping duit siling jatuh dihadapannya. Salina membiarkannya sahaja apabila satu demi satu beberapa keping duit syiling jatuh di atas beg sandangnyanya. Kali ini bukan sahaja duit syiling yang dijatuhkan oleh entah siapa malah ada beberapa not merah yang dihulurkan kepadanya. Salina terpaku.
Senja merah hampir melabuhkan tirainya. Hati yang gundah tenggelam bersama surutnya aliran waktu. Petak-petak jalan ditelusuri perlahan sehingga kakinya menapak ke teratak yang sejak siang tadi menunggu kepulangannya. Seribu pertanyaan menujah mindanya semenjak pulang dari kota. Apa yang menjadi persoalan di benaknya ialah apakah perlu dia mengambil wang hasil pemberian orang ramai tadi? Kalau betul ia pemberian yang ikhlas, apa salahnya dia menerimanya.
‘sudah rezeki kau Salina, ambil sajalah. Apa lagi yang kau fikirkan?’ satu suara dari lubuk hatinya memujuk.
‘Tapi, bukankah aku akan jadi seperti pemintah sedekah sekiranya aku mengambilnya?’ Hatinya pula berkata.
‘Mahukah kau hidup dalam keadaan seperti ini? Tanpa apa-apa pekerjaan dan belas simpati sesiapa yang boleh mengambil kau bekerja? Hujah suara dari dalam itu. ‘Persetankan semua itu Salina. Kau perlu hidup, ibu kau yang sakit dan paling penting tiga orang si kecil yang perlukan duit sekolah dan buku-buku itu’. Suara itu memujuk lagi
‘Aku tidak mahu duit ini. Ini bukan hasil titik peluhku. Sampai bila aku hidup di atas dasar simpati dan kasihan orang lain? Argh, tidakkkk!’
‘Bodoh- bodoh, kau memang Bodoh Salina. Ambilah dahulu duit itu dan simpan. Apabila ianya sudah banyak kau boleh ambil duit itu sebagai modal untuk berniaga. Bila sudah untung, kau boleh beri balik pada peminta sedekah yang lain. Ramai lagi tangan-tangan yang menadah di luar sana Salina, berikan sahaja pada mereka kalau kau sudah punya wang yang banyak.’ Begitu hebat suara itu memujuknya.
‘Tapi’..ya, betul juga… Nanti bolehlah aku belikan ibu ubat-ubatan dan duit untuk adik-adikku. Salina akhirnya termakan pujuk rayuan suara hitam itu.
Hari silih berganti, masa pantas berputar mengikut paksinya. Yang besar datang menghulur, yang kecil mengikut dan seribu satu wajah menyuakan ihsan dan belas yang tidak terkira pada si gadis yang kini menjadi pengemis kota. Salina tiada pilihan dan sesuatu yang tampak hina selama ini sebenarnya memberi banyak nikmat terutama kepada mereka yang sengaja meminta serta berpura-pura.
Suatu hari, seorang perempuan tua berjalan sambil menghayun tongkatnya di celah-celahan orang ramai. Berjalan bertongkat dan meraba kerana tiada cahaya yang mampu menembusi retinanya. Kebetulan pada ketika itu Salina bersiap-siap pulang ke rumah dan tiba-tiba diketemukan dengan si tua yang tidak ada kudrat dan upaya.
‘Makcik ni hendak ke mana?’ Biar saya tolong.’ Sapa Salina lantas memimpin tangan makcik buta itu.
‘terima kasih nak’ ucapnya sambil tersenyum ikhlas.
‘makcik nak ke rumah makcik di hujung kedai itu’ katanya lagi sambil di tangannya terdapat sebuah bakul yang dijinjit kemas.
‘makcik jual kuih ker?’ soal Salina apabila melihat bakul yang berisi itu
‘iya nak.. anak tak nak beli kuih ni ke? Soalnya pula.
‘tidak mengapalah makcik. Saya baru sahaja selesai makan’
‘baiklah.
Salina berasa belas dan tindakanya tidak membeli kuih itu menambahkan lagi serba salahnya.
‘tidak apalah makcik, saya tidak akan membeli kuih ini tapi makcik ambillah duit ini.’ Salina menghulurkan not sepuluh kepada orang tua buta itu.
‘terima kasih nak. Makcik tidak ambil duit pemberian orang’
Terasa berbakul-bakul kuih jatuh di atas kepala Salina. Dia tidak menyangka pemberiannya ditolak.
‘saya bagi ikhlas makcik, ambillah. Salina menghulurkan lagi. Kali ini sekeping not biru pula diberikannya.
‘terima kasih sajalah nak’ simpanlah duit itu untuk masa depan atau mungkin untuk orang lain yang lebih memerlukannya ya.’orang tua itu menolak duit Salina lembut.
‘macam inilah, saya beli semua kuih makcik tu dan makcik terimalah duit ini sebagai bayaran’. Salina tidak berputus asa memujuk.
‘nak, hidup kita kena ikhlas baru boleh dapat keredhaan dan keberkatan. Jangan mengharap simpati dan belas orang lain. Mungkin makcik buta tapi Allah cukup pemurah kerana memberikan makcik kudrat untuk berjaja kuih-muih. Macik masih ada sepasang kaki dan sepasang tangan yang membolehkan makcik terus hidup.
Anak simpanlah baik-baik duit itu. Tentunya sukar anak mencarinya. Hargai dan peliharalah apa yang kita ada. Biar sampai satu hari nanti apabila kita mati, matilah sebagai orang paling mulia di kalangan manusia, jangan sesekali kita mati dalam keadaan yang hina ” Orang tua itu kemudian berlalu pergi.
Salina terpempan degan kata-kata itu. ‘Mengapa aku yang ada kesempurnaan ini tidak semulia dan sekuat orang tua itu untuk memperjuangkan hidup?’ Salina ingin lari tapi terasa kaki tidak cukup bumi untuk menyembunyikan kepalsuan serta kepuraan diri.
Salina menoleh pada si tua buta itu tadi tetapi dengan serta merta orang tua bersama tongkatnya itu hilang. Puas Salina mencari tetapi gagal.

Saturday, October 27, 2007

MENITI HARI-HARI PEPERIKSAAN

30hb Oktober ini aku akan mulai menghadapi kertas pertama peperiksaanku untuk kertas Pengantar Falsafah. Selepas balik bercuti selama tiga minggu(lebih kurang) di kampung aku rasa aku perlu kembalikan semangatku semula. Bukan mudah untuk lari dari mood' raya dan bercuti seperti ini namun itulah yang aku perlu hadapi. Ya, peperiksaan dan peperiksaan. takkan ada sesuatu yang lebih penting bagiku dari itu. Cabaran kali ini sedikit besar kerana jumlah unit yang aku ambil tapi ku kira itu tidak seberapa berbanding menghadapi kerenah kawan-kawan yang tidak mengambil peperiksaan sebagai sesuatu yang perlu dan amat perlu untuk dikejar. Kejayaan mungkin diimpikan oleh semua orang tapi bukan semua orang mampu memilikinya. Aku cuma memanjatkan doa agar aku bersama kawan-kawan seperjuangan dapat menempuhi hari peperiksaan dengan jayanya. InsyaAllah, tiada yang lebih baik melainkan restu dan izin Allah yang Maha Kuasa. Amin Ya Rabbal Alamin....

Monday, September 24, 2007

Antara Tugasan, Nota Kuliah dan penulisan

Tiga unsur yang aku kira punya kreteria masing-masing. Tugasan, pada aku cukup berat untuk dihadapi sepanjang semester ini. Kadang aku hampir tersungkur, hilang kekuatan untuk terus berjuang kerana terlalu banyak yang perlu dihadapi. Jiwa mesti kuat baru boleh berdiri- itulah satu-satunya semangat yang ada. Pagi hingga ke pentang sibuk berkejar dengan jadual kelas yang begitu padat. Balik ke kolej pastinya minda dihidangkan dengan tugasan serta nota kuliah yang entahkan bila boleh ditelaah. Semuanya membawa aku ke dunia yang lebih suka menyendiri, sehingga akhirnya aku terdorong dengan kegiatan menulis kerana aku bermula dengan menjadikan penulisan sebagai satu terapi walaupun menulis bukanlah kerja yang mudah, A. Samad Said mengatakan bahawa 'menulis itu resah yang bahagia, derita yang indah'. Kadang aku tidak mampu untuk menggerakkan hati dan ingatanku pada penulisan sepenuhnya tetapi apa pun situasi, aku tidak akan lari dari dari terus berpijak di atas dataran sastera yang lapang lagi indah. Aku lebih berdispilin dengan nota-nota kuliah yang perlu ditelaah sebelum hari peperiksaan. Walaupu tidak banyak masa untuknya tetapi seluruh tumpuanku sejak akhir-akhir ini mula bergerak sedikit demi sedikit ke arah itu, insya-Allah dengan izin-Nya...